KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia akan menyaksikan pengurangan aktiviti perniagaan dalam tempoh 12 bulan hingga 24 bulan akan datang, berikutan kelembapan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Mukhtar Hussain, berkata situasi ekonomi kini lebih perlahan berbanding tahun sebelum ini, sekali gus menjejaskan pelaburan modal. “Bagaimanapun, sistem perbankan yang berhemat, dikawal selia secara baik, dimodalkan dan disokong oleh tadbir urus korporat yang kukuh, akan membantu institusi diuruskan dengan baik semasa tempoh ini,” katanya.
Mukhtar berkata, sistem perbankan akan meningkat seiring dengan aliran ekonomi dan dipacu oleh usaha untuk menyokong industri itu. Di sebalik pertumbuhan ekonomi yang lembap, Mukthar berkata, terdapat peluang sedia ada untuk perdagangan dan pelaburan dalam renminbi China. Mukhtar berkata, Malaysia kekal meraih manfaat daripada hubungan dua hala kukuh, yang terjalin dengan China. – BERNAMA
SUMBER : Berita Harian