Saudi Aramco beli kepentingan ekuiti aset RAPID

KUALA LUMPUR: PETRONAS dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) memeterai Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi membolehkan syarikat minyak Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam aset projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). Nilai pembelian ekuiti oleh Saudi Aramco itu ialah AS$7 bilion (RM31 bilion).

Projek RAPID adalah sebahagian daripada PIC yang dibangun dan dikendalikan oleh PETRONAS. Ia bakal menjadi hab industri minyak dan gas hiliran serantau serta membuka era baharu pembangunan ekonomi dan teknologi di rantau Asia. Perkongsian antara Saudi Aramco dan PETRONAS menandakan permulaan hubungan strategik dan membawa manfaat kepada kedua-dua syarikat, sekali gus memberikan sokongan kukuh dan sinergi kepada RAPID.

Perjanjian itu dimeterai oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H Nasser dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Ia disaksikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis dilangsungkan sempena lawatan rasmi Raja Salman ke Malaysia. Turut hadir ialah Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi, Khalid Al-Falih yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Aramco dan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Di bawah perkongsian itu, Saudi Aramco akan membekalkan hingga 70 peratus keperluan minyak mentah bagi loji penapisan RAPID, manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan PETRONAS.

Mengulas perjanjian itu, Wan Zulkiflee berkata, kerjasama itu membentuk pakatan strategik yang sempurna kepada kedua-dua syarikat. “Kerjasama ini membawa bersama dua organisasi yang mempunyai reputasi teguh, pengalaman operasi yang meluas serta trek rekod terbukti dalam memajukan projek mega.

“Kedua-dua syarikat juga memiliki rangkaian komersial di dalam pasaran berlainan di peringkat global,” katanya. Perkongsian antara Saudi Aramco dan PETRONAS menandakan permulaan hubungan strategik dan membawa manfaat kepada kedua-dua syarikat, sekali gus memberikan sokongan kukuh dan sinergi kepada RAPID.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS dijangka memuktamadkan semua syarat yang tertakluk di bawah perjanjian berkenaan dalam tempoh setahun selepas ia dimeterai. “Kini, kami mempunyai jaminan bekalan minyak mentah jangka panjang kerana Arab Saudi adalah pengeksport terbesar minyak mentah,” katanya.

Nasser pula berkata, Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan yang besar dan perjanjian perkongsian itu mengukuhkan lagi kedudukan Saudi Aramco sebagai pembekal bahan suapan petroleum utama ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Di samping itu, kedudukan strategik RAPID di hab yang berkembang pesat, bakal memberikan jaminan tenaga di rantau Asia Pasifik,” katanya.

INFO

  • RAPID mempunyai keupayaan memproses 300,000 tong minyak mentah sehari
  • RAPID mampu menghasilkan pelbagai keluaran petroleum tertapis, termasuk petrol dan diesel menepati spesifikasi Euro 5
  • PIC sudah 60 peratus disiapkan dan dalam landasan tepat untuk memulakan operasi loji penapisan minyak pada 2019

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s