PUNB lulus pembiayaan lebih RM2.5b

MELAKA: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) meluluskan pembiayaan melebihi RM2.5 bilion kepada 8,745 usahawan Bumiputera dengan membabitkan 6,171 syarikat sejak penubuhannya pada 1991 sehingga 31 Januari 2017.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM522.43 juta diluluskan kepada 2,835 usahawan wanita atau 32.4 peratus melibatkan 2,130 syarikat. “Daripada penggubal dasar iaitu kerajaan, hingga ke peringkat pelaksana dasar seperti PUNB, masing-masing memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Prospernita Zon Selatan 2017 di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan program itu. Mohd Ali berkata, PUNB telah membangunkan 104 usahawan wanita daripada 84 syarikat dengan nilai keseluruhan pembiayaan diluluskan sebanyak RM16.30 juta dalam pelbagai industri dan perniagaan.

Empat bidang perniagaan yang mendapat pembiayaan tertinggi bagi kategori usahawan wanita di Melaka ialah pakaian, tekstil dan aksesori sebanyak 19 peratus; makanan dan minuman (9.5 peratus), farmasi (9.5 peratus) dan pendidikan (8.3 peratus), katanya. Beliau berkata, selain menawarkan pembiayaan perniagaan, PUNB turut melaksanakan pelbagai program untuk memperkasakan dan meningkatkan ekonomi usahawan wanita di negara ini termasuk menerusi Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit), Inkubator Kemahiran Usahawan Wanita (I-KeuNita), Pembangunan Kemahiran dan Latihan Keusahawaan (BEST) dan Prospernita.

Sokongan korporat terhadap aspek pemantauan perniagaan, latihan dan pembangunan usahawan, jaringan perniagaan, promosi dan publisiti turut ditawarkan bagi memastikan perniagaan usahawan wanita di bawah PUNB terus kukuh, katanya. “Justeru itu, saya menggesa golongan usahawan wanita di negara ini agar dapat memanfaatkan segala kemudahan, pembiayaan dan latihan yang disediakan untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Program Prospernita, yang membawa tema ‘Bertahan atau Tidak – Mengurus Cabaran Perniagaan di Ekonomi Terbuka’ kali ini, bertujuan mengetengahkan usahawan wanita PUNB dan menarik lebih ramai pembabitan wanita ke dalam sektor perniagaan dan korporat. – BERNAMA

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s