Penyusunan semula Sime Darby wujud 3 entiti

KUALA LUMPUR: Pelan penyusunan semula Sime Darby Bhd (Sime Darby) membabitkan kewujudan tiga syarikat khusus bebas yang disenarai di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sime Darby berkata, rancangan itu dijangka membabitkan penyusunan semula dalaman dan pengagihan saham sebelum cadangan penyenaraian perniagaan perladangan dan hartanahnya.

“Dengan penyenaraian itu, tiga syarikat terbabit, iaitu Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Sime Darby dengan perniagaan yang fokus, akan berada dalam kedudukan baik untuk pertumbuhan dalam sektor masing-masing di peringkat global dan serantau,” katanya.

Sime Darby berkata, akses langsung kepada pasaran modal dan fleksibiliti pembiayaan, setiap syarikat khusus bebas itu akan mendapat manfaat daripada pengurusan modal yang lebih fokus serta strategi pertumbuhan khusus. Sementara itu, ia berkata, pemegang saham boleh terbabit secara langsung dalam ekuiti serta pertumbuhan ketiga-tiga syarikat dengan pandangan lebih jelas dalam prestasi kewangan setiap entiti berasingan yang disenaraikan itu.

“Sebagai sebahagian daripada penyusunan semula dalaman, adalah dijangka pinjaman Kumpulan Sime Darby akan disusun semula, aset tertentu akan dipindah dan pinjaman antara syarikat akan dipermodalkan,” katanya.

Ini akan membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi penarafan, pemberi pinjaman dan pemberi kredit Sime Darby bagi memastikan struktur modal optimum dicapai untuk setiap entiti khusus bebas berkenaan, katanya. Sime Darby berkata, bagi tujuan penyenaraian, dijangkakan keseluruhan saham Sime Darby Plantation dan Sime Darby Property akan diagihkan di mana semua pemegang saham kumpulan yang layak akan menerima saham dalam Sime Darby Plantation dan Sime Darby Property, mengikut kadar pegangan saham.

Sime Darby tidak akan memiliki sebarang pegangan dalam kedua-dua syarikat berkenaan, katanya. Bagaimanapun, cadangan penyenaraian Sime Darby Plantation dan Sime Darby Property itu mungkin dilaksana serentak atau pada masa berbeza, antara lain bergantung kepada persediaan perniagaan itu dan juga pematuhan syarat kawal selia untuk penyenaraian berkenaan, katanya.

“Cadangan struktur korporat itu bertujuan memaksimumkan nilai kepada pemegang saham dalam tiga syarikat khusus bebas terbabit,” katanya. Sime Darby Plantation adalah peneraju dunia dalam minyak sawit lestari dengan pelbagai peluang menarik untuk pertumbuhan dalam sektor hilirannya. Sime Darby Property, dengan akses strategik kepada simpanan tanah di Malaysia, berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan potensi masa depan yang disediakan beberapa pembangunan skala nasional yang menarik.

Sime Darby, yang menjadi rakan kongsi pilihan untuk jenama terkemuka seperti BMW dan Caterpillar, mempunyai jejak serantau yang akan membolehkannya mengukuhkan lagi kedudukannya. “Cadangan terbabit adalah langkah seterusnya dalam perjalanan Kumpulan Sime Darby memenuhi aspirasi pemegang sahamnya berikutan gabungan mega 2007 yang mewujudkan Sime Darby sekarang ini.

“Sime Darby akan membuat pengumuman yang sesuai apabila terdapat perkembangan penting berkaitan cadangan itu, terutama mengenai terma dan masanya,” katanya. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, syarikat itu perlu mengiktiraf perubahan dalam jangkaan pelabur.

“Pelabur hari ini memerlukan fokus dan lebih suka melabur secara langsung dalam sektor pilihan mereka. “Selain itu, ia juga peluang untuk ketiga-tiga syarikat mengumpul modal, melakar laluan pertumbuhan berbeza dan menyerlahkan profil mereka untuk meningkatkan prestasi,” katanya. BERNAMA

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s