PETRONAS komited maju agenda Bumiputera

KUALA LUMPUR: PETRONAS tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya membangunkan serta membantu usahawan dan syarikat Bumiputera, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Menolak tuduhan sesetengah pihak mengenai komitmen agenda Bumiputera syarikat minyak nasional itu, beliau menegaskan, apa yang dilakukan PETRONAS kini hanyalah membersihkan pihak yang hanya bertindak sebagai ejen daripada senarai syarikat yang dibantu. Ia bukan sahaja mengambil perniagaan daripada usahawan Bumiputera tulen tetapi juga menyebabkan kos meningkat.

“Kini ada lebih 3,000 syarikat yang berdaftar, daripada yang besar sehinggalah yang kecil. Termasuk dalam kalangan syarikat ini ialah yang hanya bertindak sebagai ejen. Kami mesti buat benda yang betul. Kami tidak akan memihak kepada pihak yang sebegini, yang ada pejabat, ada setiausaha dan kenal orang di PETRONAS.

“Jadi apa yang kami lakukan ialah membersihkan ejen ini daripada senarai syarikat Bumiputera yang kami bantu. Bagi syarikat Bumiputera yang telah melabur dan menjalankan sendiri operasi perniagaan, kami akan sedaya upaya membantu mereka,” katanya dalam satu taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pihak yang bertindak sebagai ejen ini yang tidak mengambil risiko, tidak melabur dan mengambil pekerja tempatan hanya meningkatkan kos PETRONAS. “Cuba bayangkan CAPEX (perbelanjaan modal) kami adalah RM60 bilion, OPEX (perbelanjaan operasi) pula RM100 bilion. Jika (kos PETRONAS meningkat) dua peratus sahaja (disebabkan ejen berkenaan), ia sudah berapa?,” katanya. Beliau berkata, PETRONAS juga sentiasa memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan di negeri di mana ia melaksanakan projek. Tetapi ada kalanya timbul masalah untuk menentukan status kenegerian sesebuah syarikat itu.

Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan PETRONAS bagi berdepan penurunan harga minyak mentah dunia telah membuahkan hasil memberangsangkan. Beliau menegaskan, ia akan dapat dilihat apabila syarikat minyak nasional itu mengumumkan laporan kewangannya bagi tahun lalu pada bulan depan.

Katanya, walaupun PETRONAS meraih hasil lebih rendah tahun lalu berbanding RM248 bilion pada 2015 disebabkan kejatuhan harga minyak mentah, margin keuntungan perniagaannya meningkat. Keputusan itu, katanya dicapai hasil strategi pengurangan kos, atau ‘Projek Cactus, yang dilancarkan semasa harga minyak mentah jatuh ke paras terendah dalam sejarah kepada AS$27 setong pada Februari tahun lalu.

“Projek Cactus meningkatkan kecekapan operasi dan membolehkan kami mengurangkan kos yang boleh dikawal sebanyak 14 peratus,” katanya. Beliau berkata, PETRONAS juga menjimatkan beratus juta ringgit dengan mengurangkan tenaga kerja kepada hanya 51,000 tahun lalu.

“Namun kejayaan lebih besar daripada Projek Cactus ialah kami mengurangkan sebahagian besar pertindihan dan mencapai akauntabiliti lebih tinggi,” katanya sambil menambah PETRONAS juga adalah satu-satunya syarikat minyak yang tidak diturunkan penarafan kredit oleh Standard & Poor’s atau Moody’s.

Mengenai projek dilaksanakan PETRONAS, Wan Zulkiflee berkata, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia di Pengerang di Johor, yang mana setakat akhir tahun lalu sudah mencapai kemajuan 54 peratus.

Beliau berkata, PETRONAS juga antara pembida yang berjaya dalam lelongan pertama minyak laut dalam di Mexico, dan dalam perancangan untuk mengkaji dua medan minyak di Iran dan memulakan operasi tren gas asli cecair (LNG) kesembilan di Bintulu.

Mengenai cadangan projek LNG di Kanada dengan penguasaan ekuiti 62 peratus, beliau berkata PETRONAS bersama rakan kongsi usaha sama lain, sedang mengenal pasti cara untuk menurunkan kos. Wan Zulkiflee berkata, operasi PETRONAS bagi tahun ini akan bersandarkan kepada harga minyak mentah yang konservatif ialah pada AS$45 setong.

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s