Lebih ramai dijangka pilih Skim Simpanan Syariah – KWSP

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka beralih kepada Simpanan Syariah apabila dividen dan prestasi bagi skim persaraan patuh Syariah itu mula diumumkan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kumpulan pertama pencarum yang beralih kepada skim berkenaan pada tahun lalu adalah disebabkan ciri pelaburannya yang menepati syariat Islam. “Namun, seperti yang saya katakan, menjelang 2017 dan 2018 apabila kami mula mengumumkan prestasi bagi skim simpanan ini (Simpanan Syariah) dan juga dividennya, maka lebih ramai pencarum mungkin akan memilih untuk beralih,” katanya pada taklimat media dividen KWSP 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sambutan terhadap skim simpanan patuh Syariah itu setakat ini agak menggalakkan apabila RM59 bilion daripada peruntukan awal RM100 bilion dana berkenaan sudah dimanfaatkan oleh lebih 600,000 pencarum. Katanya, jumlah itu menepati anggaran awal KWSP yang menjangkakan dana antara RM60 bilion hingga RM80 bilion akan digunakan untuk Simpanan Syariah.

“Sebagai persediaan jika terdapat permintaan lebih tinggi, kami menaikkan peruntukan awalnya kepada RM100 bilion,” katanya. Shahril Ridza berkata, perbezaan paling ketara bagi Simpanan Syariah berbanding skim simpanan konvensional sedia ada adalah pendedahan yang lebih minimum skim baharu itu terhadap sektor perbankan teras.

“Justeru, perbezaan besar boleh dilihat daripada (prestasi) sektor perbankan. Pada 2016 sebagai contoh, susut nilai yang tinggi berlaku di dalam sektor perbankan,” katanya. Bagi Simpanan Syariah 2018, KWSP memperuntukkan RM50 bilion lagi tambahan dana kepada pencarum yang mahu bertukar kepada skim berkenaan.

Simpanan Syariah diperkenalkan pada Ogos 2016 sebagai satu pilihan kepada pencarum yang mahu bertukar daripada simpanan konvensional kepada simpanan yang diurus serta dilabur mengikut prinsip Syariah. Pencarum yang berhasrat untuk beralih kepada Simpanan Syariah 2018 boleh berbuat demikian sebelum 24 Disember 2017.

INFO:

  • Simpanan Syariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah.
  • Simpanan Syariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS).
  • Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Syariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diurus dan dilaburkan oleh KWSP.

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s