Kerjasama Proton dengan rakan kongsi asing akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kerjasama Proton Holdings Bhd dengan rakan strategik menjanjikan situasi menang-menang bagi kedua-dua syarikat kerana ia akan membuka peluang baharu bagi mereka untuk menembusi pasaran ASEAN yang menguntungkan.

Ini bukan sahaja akan membawa kepada jualan yang lebih baik bagi pengeluar kereta nasional itu, tetapi juga meningkatkan pengeluaran di kilangnya di Shah Alam dan Tanjung Malim yang pengeluarannya kini di bawah kapasiti.

Ia juga akan membolehkan rakan strategik asing itu memperoleh akses kepada kemudahan pembuatan sedia ada Proton yang jelas menunjukkan banyak yang boleh ditawarkan syarikat kereta nasional itu kepada bakal rakan strategiknya.

Kemasukan ekuiti 51 peratus rakan kongsi asing itu, ditambah dengan suntikan dana, teknologi global, kepakaran, pewujudan pasaran dan penjenamaan baharu, akan seterusnya membantu mengembangkan jenama Proton di peringkat antarabangsa.

Bagi Malaysia, limpahan ekonomi dijangkakan besar kerana kerjasama strategik itu sudah pastinya dapat mewujudkan peningkatan peluang pekerjaan, terutamanya bagi jurutera dan juruteknik kereta lepasan kolej dan universiti.

Justeru itu, usaha syarikat induk DRB-Hicom Bhd untuk memulihkan semula syarikat kereta nasional itu dengan menawarkan tender bagi rakan kongsi strategik berpotensi merupakan satu langkah ke arah hala tuju yang betul.

DRB-Hicom memegang 100 peratus ekuiti dalam Proton.

Namun begitu, tiada nama yang disebut sejak tarikh penyerahan akhir pada 15 Februari, 2017.

Bagaimanapun, laporan berita pada September lepas menyatakan selain Geely Automobile Holdings, yang dilaporkan mendahului saingan, pengeluar Peugeot, PSA, Suzuki Motor Corp dari Jepun dan pengeluar kereta Perancis Renault SA juga menunjukkan minat terhadap perkongsian tersebut.

DRB-Hicom mengumumkan Rabu lepas rakan strategik asing baharu akan diumumkan pada separuh pertama 2017.

Dalam menganalisis kemungkinan perkongsian itu, persoalan yang timbul adalah siapakah yang mahu menjadi rakan strategik asing bagi sebuah syarikat kereta yang mencatatkan prestasi kewangan lemah dan mempunyai masalah dari segi perniagaan.

Selain itu, bahagian pasarannya juga semakin menurun.

Namun jika dinilai dengan diteliti, Proton sebenarnya memiliki sesuatu yang berharga untuk ditawarkan. Pertamanya, semua kilang pemasangannya di Tanjung Malim dan Shah Alam memiliki gabungan kapasiti sehingga 400,000 kereta setahun.

Dan dengan jualan Proton lebih 100,000 unit setahun, kedua-dua kilang ini masih menghasilkan pengeluaran di bawah kapasiti.

Dengan membeli pegangan Proton, rakan strategik asing memperoleh jualan lebih 100,000 kereta selain kemudahan pembuatan bagi menghasilkan lebih banyak kereta untuk pasaran ASEAN.

Satu lagi kelebihan bagi rakan strategik asing adalah pasaran segera untuk ekosistem pengedaran yang menguasai 14 peratus bahagian pasaran.

Ketika ini Proton memiliki 4,000 pengedar dan 27,000 vendor yang menyediakan platform pengedaran sedia ada kepada rakan strategik asing.

Mengapa perlu untuk mewujudkan kilang pembuatan, vendor dan sistem pengedaran baharu yang akan mengambil masa untuk direalisasikan sedangkan Proton memiliki semua ini dalam rangkaian sedia adanya.

Sebelum ini dilaporkan PSA dari Perancis merancang membina kilang bagi pasarannya di Asia Tenggara dan ia sedang mencari tapak sama ada di Indonesia, Thailand atau Malaysia untuk mengurangkan pergantungannya kepada pasaran Eropah yang sangat mencabar.

Syarikat itu merancang menjalin kerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk mengelakkan melakukan kesilapan baru memulakan perniagaan.

Difahamkan bahawa PSA — sebelum ini memutuskan untuk membina kilang pembuatan bernilai US$2 bilion di Indonesia — tetapi kini dengan adanya tawaran Proton itu, mungkin PSA berpandangan bahawa mengapa perlu mewujudkan sistem vendor dan pengedaran yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan di Indonesia.

Justeru, ia suatu yang wajar dari sudut perniagaan bagi PSA untuk membida sebagai rakan strategik asing Proton sekarang yang akan membawa kepada keputusan untuk tidak meneruskan rancangan awalnya membina kilang pembuatan penuh di Indonesia.

Satu lagi ‘permata’ dalam Proton adalah pemilik bersama teknologi ‘hot press forming’ (HFP), Miyazu, anak syarikat Proton yang menghasilkan komponen dan peralatan automotif berkualiti tinggi bagi syarikat pengeluar kereta utama seperti Toyota, Honda, Nissan, Lotus dan Ford.

Unit Proton Preve yang dihasilkan bagi pasaran domestik dan eksport menggunakan HPF yang membantu menyediakan perlindungan lebih baik dan ketegaran tinggi struktur dan kerangka tanpa menjejaskan keseluruhan berat kereta.

Dan apa yang paling menarik adalah Proton yang merupakan satu-satunya pengeluar kereta ‘sepenuhnya’ di ASEAN, akan menyediakan kepada rakan strategik asing platform untuk memulakan usaha menyediakan kepada pasaran rantau ini yang sedang pesat membangun.

Menurut AsiaMotorBusiness.com, ASEAN, dengan penduduk seramai 600 juta orang, mencatatkan kenaikan jualan kenderaan sebanyak 4.7 peratus kepada 947,241 unit dalam suku keempat tahun lepas, daripada 904,504 unit dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jualan tahun penuh dianggarkan 3.24 juta unit.

Kerjasama dengan rakan strategik asing akan membuka peluang baharu bagi Proton dan syarikat tersebut untuk berkembang ke pasaran ASEAN yang akan membantu meningkatkan jualan pengeluar kereta nasional itu.

Dengan pemasangan kereta sedi ada di Malaysia, rakan strategik asing baharu Proton akan mempunyai akses segera kepada kapasiti pengeluaran yang akan melayakkan perkongsian baharu itu bagi mengeksport kenderaan bebas cukai di ASEAN.

Mengenai jenamanya, Proton Preve dan Suprima S merupakan satu-satunya kereta ASEAN yang mencapai penarafan lima bintang Australasian New Car Assessment Program (ANCAP).

Dan jangan kita lupa satu daripada kekuatan Proton, iaitu beratus-ratus jurutera penyelidikan dan pembangunan, yang boleh dimanfaatkan di bawah kerjasama yang bakal terjalin itu.

Bagi pihak yang tidak bersetuju bahawa Proton, sebagai produk atau ikon Malaysia dimiliki dan dibangunkan oleh entiti asing, mereka perlu melihat perkembangan yang berlaku kepada pengeluar dan pemain auto global.

Kebanyakan jenama terkemuka kini dimiliki oleh pihak asing.

Jaguar Land Rover kini dimiliki oleh Tata Group dari India. BMW milik Jerman kini menghasilkan dua ikon Britain — Rolls Royce dan MG Rover, yang menghasilkan Mini.

Dan jangan kita lupa yang Proton adalah pemilik Lotus, sebelum ini merupakan pengeluar kereta sport popular Britain.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani terdahulu pada bulan ini berkata kerajaan tidak ada masalah dengan hasrat DRB-Hicom melepaskan 51 peratus pegangannya dalam Proton kepada rakan strategik asing.

“Jika Proton berdiri sendiri, ia tidak mampu berkembang ke luar negara. Lebih baik bagi Proton untuk menjadi jenama antarabangsa terkenal, daripada hanya kekal dalam negara dan menjual antara 200,000 dan 300,000 unit kereta, yang mana ianya tidak mampan,” kata Johari.

“Kita mengeluarkan kereta hanya untuk pasaran Malaysia dan ini tidak berpadanan dengan jumlah penduduk yang hanya seramai 31 juta. Kita juga ada Perodua dan jenama pemasangan kereta lain.

“Saya berpandangan ia adalah tentang kuantiti, serta kualiti dan teknologi di samping reka bentuk yang baik. Semua ini adalah ramuan yang diperlukan bagi membina kereta yang lebih baik yang akan dibeli orang ramai,” katanya.

Kerjasama menang-menang ini dengan rakan strategik asing akan menyaksikan bukan hanya suntikan dana baharu tetapi juga akses kepada teknologi, pasaran, jenama dan kepakaran global untuk mengembangkan lagi jenama Proton.

Seperti trend yang kita lihat di dunia sekarang ini, banyak jenama kereta popular meneruskan kelangsungan hidup menerusi pelaburan asing.

Proton sepatutnya turut berbuat demikian.–BERNAMA

SUMBER : Astro Awani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s