Cari rakan strategik bukan bermakna Proton akan dijual – Johari

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Syarikat Proton Holdings Bhd (Proton) akan dijual susulan cadangan pengeluar kereta tempatan itu untuk mencari rakan kongsi strategik.

Tegas Menteri Kewangan II itu, langkah mencari rakan kongsi strategik dilihat mampu menyelamatkan Proton untuk jangka masa panjang.

“Rakan kongsi strategik yang dicari ialah yang mempunyai kebolehan, pasaran antarabangsa,dan teknologi. Contohnya kalau hendak eksport Proton di UK, enjin kita masih Euro4, sedangkan kalau pergi negara maju, dia hendak enjin Euro6.

“Kalau kita tidak ada teknologi itu, macam mana kita nak jual kereta? Jadi dengan ada rakan kongsi strategik ini, ia boleh menyelamatkan Proton untuk jangka masa panjang.

“Dalam masa sama, ia boleh membantu Proton untuk pulih dari segi teknologi, reka bentuk yang terkini, enjin yang berkebolehan dan diterima negara maju,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Mobile Semakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini, hari ini.

Tegasnya, jika Proton tidak diuruskan dengan sebaiknya beliau bimbang syarikat berkenaan tidak akan mampu bersaing dan sekali gus menyebabkan ribuan orang akan kehilangan pekerjaan.

“Sebab itu kita galakkan Proton untuk mencari rakan kongsi strategik kerana kalau mereka sendiri, mungkin tidak boleh kerana dalam 32 tahun ia masih menjual kereta bawah RM100,000, jadi bagaimana hendak buat duit dengan menjual kereta bawah RM100,000? Kereta ini kena jual secara global, kalau jual dalam negara sahaja tidak cukup,” katanya.

Menurut Johari lagi, Proton bukan lagi syarikat kerajaan dan ia dimiliki syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan tetap mahu melihat Proton terus berkembang dan mampu berdiri di atas kaki sendiri.

“Sebab itu, kerajaan tidak boleh terus nak tolong sahaja Proton kerana kerajaan juga ada banyak komitmen lain, ada banyak lagi hal rakyat yang lain. Namun, dalam soal Proton ini, oleh sebab ia menyediakan peluang pekerjaan 10,000 direct dan 100,000 indirect, jadi kerajaan kena tengok bagaimana nak pastikan Proton atau DRB mendapat rakan strategik,” ujarnya.

Tambahnya, jika Proton mampu bertahan hasil kerjasama rakan kongsi strategik berkenaan, maka syarikat itu akan terus maju dan menyediakan lebih banyak pekerjaan.
“Isu ini (dakwaan Proton dijual) orang tidak faham. Ada orang kata kita nak jual Proton, bukan, kita nak cari rakan kongsi strategik. Kita kongsi pengalaman, kepakaran untuk memastikan Proton menjadi satu-satunya kereta Asia di Rantau Asia,” katanya.
Pada Isnin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata Proton kini dalam proses mengenal pasti rakan kongsi strategik asing sesuai dan kenyataan mengenainya akan dibuat serentak dengan pengumuman gabungan kilang pengeluaran di Tanjung Malim, Perak dengan Shah Alam, Selangor.
SUMBER : Astro Awani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s