Pencapaian Felda bukan setakat prestasi kewangan, kata Isa

KUCHING: Pencapaian syarikat perladangan sawit terkemuka negara, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), tidak seharusnya dinilai berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, malah perlu dilihat dari aspek yang lebih besar seperti penambahbaikkan operasi sedia ada, pelaburan jangka panjang, pengukuhan modal insan dan sumbangan sosial kepada masyarakat.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata jika dilihat secara keseluruhan sejak FGV disenaraikan pada 2012, banyak pencapaian yang telah diraih syarikat berkenaan, termasuk peningkatan bank tanah bukan pajakan, penghasilan pelbagai bahan tanaman bertaraf dunia menerusi kajian dan pembangunan (R&D) dan mewujudkan bahagian perdagangan minyak sawit mentah disokong aset.

Sehingga kini, FGV telah menambah 45 ribu hektar tanah bukan pajakan di Sarawak, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, katanya FGV juga telah mengembangkan operasinya ke luar negara, meningkatkan penghasilan tenaga boleh baharu, pembangunan modal insan dan menambah baik operasi ladang serta kilang.

“FGV kini merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, pengendali perkhidmatan penyimpanan pukal bagi minyak boleh dimakan terbesar dunia, pengendali ladang sawit ketiga terbesar dunia, pengeluar gula bertapis terbesar di Malaysia dan banyak lagi kekuatan rantaian perniagaan yang dimiliki,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Mohd Isa berkata dari segi prestasi kewangan, FGV mencatatkan penurunan sejak disenaraikan kerana faktor pergerakan harga minyak mentah dunia, profil umur pokok yang tua, proses tanam semula secara agresif, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia, dan permintaan biodiesel yang lemah.

Harga gula mentah dunia turut memberi kesan secara tidak langsung kepada FGV menerusi anak syarikatnya, MSM Holdings Bhd, yang mana FGV mempunyai pegangan sebanyak 51 peratus.

“Untuk perkara lain bukan kewangan, FGV telah menampakkan perubahan yang cukup baik. Pengukuhan asas ini secara tidak langsung akan membina sebuah syarikat yang lebih mampan pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai saham FGV, Mohd Isa berkata harga saham FGV yang ketika ini lebih rendah berbanding ketika penyenaraiannya, dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang lemah akibat tindakan sesetengah syarikat mempolitikkan isu-isu berkaitan syarikat.

“Isu-isu politik ini telah menyebabkan harga saham FGV menjadi tidak stabil berbanding syarikat perladangan lain di Malaysia,” katanya.

Katanya FGV juga sering menjadi perhatian sesetengah pihak kerana mempunyai pertalian dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kedua-dua dahulu dipengerusikannya.

“Persepsi masyarakat masih menganggap FGV sebagai syarikat di bawah Felda, dan sering berlaku salah faham apabila mengaitkan FGV dalam sebarang aktiviti yang dilakukan Felda,” katanya.

Mohd Isa berkata bukan mudah untuk FGV mencapai tahap yang dikecapi sekarang, namun syarikat berkenaan sentiasa menjadi sasaran sesetengah pihak yang berfikiran negatif dan sentiasa mencari kesalahannya untuk digunakan demi kepentingan peribadi.

“Ini sangat tidak adil kepada FGV dan juga kepada pemegang sahamnya,” katanya.

Katanya walaupun persepsi berkenaan sukar dihapuskan sepenuhnya, namun amat penting bagi FGV untuk sentiasa meningkatkan kesedaran pasaran dan orang awam bahawa syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat senaraian awam dan diuruskan secara profesional mengikut undang-undang.

“FGV komited terhadap tadbir urus korporat yang baik dalam operasinya. Kami akan memastikan setiap perancangan dan keputusan perniagaan dibuat secara telus dan difahami oleh pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi Felda juga sedikit sebanyak membantu untuk mengubah persepsi orang ramai, selain membantu untuk membezakan antara kedua-dua entiti berkenaan.

Sementara itu, Mohd Isa berkata selaras dengan tugas beliau sebagai pengerusi FGV, beliau akan memberi lebih fokus kepada usaha untuk menambah baik operasi syarikat tahun ini bermula di peringkat akar umbi.

“Saya akan lebih kerap turun ke lading dan kilang untuk berjumpa kakitangan bagi memperoleh maklum balas mereka. Pada saya, ini sangat penting kerana golongan ini yang menjadi tulang belakang FGV sejak dahulu lagi.

“Saya percaya jika masalah peringkat bawahan diselesaikan segera dan suara mereka sentiasa didengari, ini secara langsung akan meningkatkan moral dan semangat mereka untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata kakitangan di peringkat bawahan juga perlu dihargai kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas setelah bekerja dengan syarikat untuk tempoh masa yang lama.

“Sudah pasti mereka mempunyai banyak cadangan dan pandangan yang boleh dikongsi di peringkat pengurusan,” katanya.- BERNAMA

SUMBER : Astro Awani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s