PM mahu firma pembinaan Malaysia jadi syarikat global

KUALA LUMPUR: Firma-firma pembinaan Malaysia digesa melipatgandakan usaha untuk muncul sebagai syarikat pembinaan dan kejuruteraan di peringkat serantau serta global. Ketika membuat gesaan itu, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini penting bagi membolehkan mereka bersaing dengan firma pembinaan terkemuka seperti Bechtel dari Amerika Syarikat, Hyundai dan Daewoo (Korea Selatan), Skanska (Sweden) serta JGC dari Jepun.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, syarikat-syarikat pembinaan Malaysia perlu mempertingkatkan keupayaan mereka, termasuk saiz syarikat, kemahiran pengurusan projek, menguasai tahap kepakaran teknologi, penjenamaan dan reputasi syarikat serta aspek rangkaian.

“Jika syarikat-syarikat pembinaan Jepun dan Korea Selatan boleh melakukannya, saya percaya firma Malaysia juga tidak terkecuali,” katanya. Perdana Menteri berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan pemegang kepentingan UEM Group Bhd bersempena ulang tahun ke-50 syarikat itu di sini, malam ini.

Sementara itu, pada majlis sama, UEM Group Bhd turut berikrar untuk membangunkan 40 lagi vendor Bumiputera bagi tempoh antara 2017 hingga 2020. “Ini adalah tambahan kepada 51 vendor ketika ini yang juga sebahagian daripada Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera yang ditandatangani bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti),” kata Pengerusi Kumpulan itu, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Pada 2014, UEM Group memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Miti sebagai antara syarikat utama yang dipertanggungjawabkan untuk memberi peluang bagi pembangunan vendor Bumiputera dalam bidang pembangunan hartanah, lebuh raya serta sektor kemudahan penyelenggaraan.

Menurut Ahmad Tajuddin, kumpulan itu juga sudah lama menyokong vendor Bumiputera, termasuk membabitkan penyerahan kontrak bernilai lebih RM5.0 bilion oleh UEM Group serta anak syarikatnya bagi tempoh 2011 hingga 2016. “Kami tidak hanya menawarkan peluang perniagaan kepada vendor-vendor berkenaan, tetapi turut meletakkan mereka sejajar piawaian prestasi tertinggi seperti inisiatif Kecemerlangan Perniagaan, sekaligus mewujudkan penggiat global.

“Hasilnya sudah mula kelihatan yang mana tiga syarikat Bumiputera di bawah tunjuk ajar kami berjaya ke peringkat akhir Anugerah Kecemerlangan Industri anjuran Miti,” katanya. Tiga syarikat itu adalah Primelux Energy Sdn Bhd, MKRS Bumi (M) Sdn Bhd dan Medical Apparatus Supplies Sdn Bhd.

Kumpulan itu menerusi empat teras perniagaannya – lebuh raya; pembangunan perbandaran dan hartanah; kejuruteraan dan pembinaan serta pengurusan aset dan kemudahan, turut menyasarkan untuk membangunkan kepakaran vendor Bumiputera di peringkat utama dalam nilai rantaian bekalan. – BERNAMA

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s