Pembangunan infrastruktur adalah penting untuk kemajuan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan kereta api adalah satu penggerak utama bagi rantau yang boleh menghubungkan pusat ekonomi termasuk kawasan perindustrian dan menyediakan sambungan dengan cekap ke Greater Kuala Lumpur / Lembah Klang.
ECER meliputi kawasan seluas lebih 66,000 kilometer persegi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 4.43 juta (2014). ECER merangkumi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta daerah Mersing di Johor seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.
Untuk memulakan pertumbuhan di wilayah ECER ini, Projek Landasan Keretapi Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) dikenal pasti sebagai projek berimpak tinggi yang akan menjadi tunjang infrastruktur pengangkutan pelbagai mod ECER. Ini akan melengkapkan infrastruktur jalan raya / lebuh raya sedia ada, seperti Lebuhraya Pantai Timur dan Laluan Timur KTMB dan pelabuhan.