Pelaburan China tingkat keyakinan pelabur di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan dalam menarik lebih ramai pelabur dari China ke pasaran tempatan bagi meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (ACCCIM), Datuk Ter Leong Yap, berkata China adalah rakan strategik dalam ekonomi dan komitmen pelaburan China bukan saja menyediakan rangsangan terus ke ekonomi tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur di Malaysia.

“Perlu perbincangan dalam meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Malaysia dan China sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang rapat sejak tahun 1974. “Malah, lawatan kerja di antara kedua pemimpin negara itu juga bukti yang menunjukkan China adalah rakan dagangan yang hampir dengan Malaysia. Hasilnya dengan perjanjian perdagangan dua hala berjumlah RM446 bilion yang dimeterai baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Leong Yap berkata, perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan syarikat China mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Katanya banyak negara berusaha keras menarik pelabur Cina, lantaran itu Malaysia mesti berada di hadapan dalam membina kedudukan sebagai destinasi pilihan untuk pelabur asing, terutama dari China.

Beliau berkata, hubungan dua negara itu bukan saja bersandarkan ekonomi, tetapi Leong Yap berkata ia juga membabitkan pembangunan sosial dengan penubuhan Universiti Xiamen Malaysia (XMUM), universiti China pertama di luar negara.

“Kampus XMUM itu bukan saja membawa masuk pelaburan sebanyak RM1.3 bilion tetapi juga barisan ahli akademik bertaraf dunia selain peluang untuk pembangunan masa depan, pembiayaan penyelidikan atau biasiswa.

“10,000 pelajar disasarkan untuk mendaftar di universiti itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global pilihan yang mampu menarik bakat terbaik dari luar negara dan menyediakan pelajar Malaysia dengan peluang untuk mengasah kemahiran mereka dengan standard global,” katanya.

Leong Yap berkata, adalah salah beranggapan bahawa pelaburan China sebagai jalan sehala. Beliau berkata, malah China telah membuktikan dirinya menjadi rakan kongsi yang baik dalam cara ia mengambil inisiatif untuk membangunkan projek-projek yang memberi manfaat bersama dalam kebanyakan ekonomi serantau.

“Beberapa syarikat Malaysia juga bekerjasama dengan pelabur China untuk menubuhkan atau mengembangkan pangkalan pengeluaran, pusat inkubator, syarikat teknologi tinggi dan lain-lain perniagaan. “Kesimpulannya untuk berjaya di peringkat global, Malaysia perlu mengiktiraf dan merebut peluang yang tersedia ini,” katanya.

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s