Bukan elak tanggungjawab nasional – DRB HICOM

SHAH ALAM: Pencarian rakan strategik asing bagi Proton Holdings Bhd bukan bertujuan melepaskan tanggungjawab nasionalnya, tetapi sebagai usaha melonjakkan syarikat itu menjadi pengeluar kereta diyakini serta meletakkannya dan Malaysia di pentas global.

Syarikat induk kereta nasional itu, DRB-HICOM Bhd turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa ia akan mengekalkan pegangan ekuiti yang besar dalam Proton dan pendiriannya itu tidak akan berubah.

Malah, dalam membuat penilaian rakan kongsi itu, DRB-HICOM juga akan menilai niat rakan kongsi berpotensi dalam menggunakan rangkaian vendor tempatan semasa bagi mengelakkan mereka dipinggirkan.

Ia juga percaya Proton mampu menjadi pengeluar kereta lebih berjaya kerana rakan strategik asing berupaya memulihkan semula pengeluar kereta nasional itu menerusi akses kepada platform, enjin serta teknologi baharu, sekali gus manambahbaik rangkaian produk serta kualitinya.

“Kami kekal komited untuk memulihkan Proton, dan pencarian rakan kongsi asing adalah kritikal dalam mencapai sasaran itu. Sejarah menunjukkan kerjasama dengan jenama gergasi mampu memulihkan prestasi pengeluar kenderaan kecil.

“Dengan rakan strategik asing yang tepat, Proton mampu memulihkan jenamanya dan kembali berjaya seperti pada tahun 1980-an dan 1990-an,” kata DRB-HICOM menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dalam mencari rakan kongsi strategik yang tepat untuk Proton, DRB-HICOM menyatakan ia akan menilainya berdasarkan tiga kriteria utama iaitu keserasian strategik, keserasian operasi dan keserasian budaya. Katanya, keserasian strategik akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan semua teknologi dan produk sedia ada yang saling melengkapi, selain memastikan Proton boleh mencapai skala ekonomi menerusi operasi domestik yang lebih besar.

DRB-HICOM menambah, keserasian operasi pula akan memastikan Proton dan rakan kongsi melengkapi kekuatan masing-masing yang mana struktur sedia ada dalam kedua-dua syarikat mesti mampu digabungkan bagi mencapai tahap operasi mereka. “Keserasian antara kedua-dua pihak amat kritikal dalam memacu Proton ke hadapan, di samping memperbaiki operasi rakan kongsi sendiri melalui rancangan jangka pendek dan panjang mereka,” katanya.

Konglomerat itu menambah, bertentangan dengan pendapat umum, Proton juga mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada rakan kongsi. Antaranya, rakan kongsi akan memiliki pelbagai jenis kenderaan mampu milik Proton seperti Persona, Saga, Preve dan Iriz, yang dikeluarkan mengikut piawaian pengeluaran yang tinggi dan memenuhi standard keselamatan global.

“Mana-mana pengeluar kereta yang bersama dengan Proton akan mempunyai pilihan kereta untuk ditawarkan kepada pasaran tertentu di seluruh dunia,” katanya. Menurut DRB-HICOM, antara kelebihan kepada mana-mana pengeluar kereta yang bekerjasama dengan Proton adalah keupayaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka serta-merta menerusi kilang Proton Tanjung Malim di PROTON City.

“Akhir sekali, Proton mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalamannya sendiri serta platform teknologi ringan daripada Lotus Cars UK,” katanya.

INFO

  • Pihak berminat menjadi rakan kongsi strategik asing Proton sudah menjalankan kajian ketekunan ke atas Proton sejak beberapa minggu lalu.
  • DRB-HICOM berhasrat menyelesaikan pemilihan rakan kongsi strategik Proton menjelang separuh pertama tahun ini meskipun ia berusaha menyelesaikannya lebih awal.

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s