Projek Serbuan Subuh Guthrie

KUALA LUMPUR 21 April – Projek serbuan waktu subuh yang merintis kejayaan Malaysia membawa balik syarikat perladangan negara Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie) dari London merupakan projek kerajaan yang dimulakan sejak pemerintahan Tun Abdul Razak lagi.

Ketua Eksekutif dan Pengurus Besar Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang pertama, Tan Sri Mohd. Desa Pachi berkata, usaha membawa balik Guthrie, yang sebelum itu dikenali sebagai Guthrie Corporation PLC diserahkan kepada PNB iaitu sebuah institusi pelaburan bumiputera yang baru ditubuhkan.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membawa kembali semua syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham London termasuk Guthrie.

Sambil mengimbas sejarah kejayaan negara membawa balik syarikat perladangan terkemuka di dunia itu, beliau berkata, percubaan kali pertama membawa balik Guthrie gagal kerana masalah teknikal dan harga saham Guthrie pada masa itu terlalu mahal.

Bagaimanapun, usaha kedua setahun selepas itu yang dirangka dengan lebih sistematik telah membuahkan hasil yang membanggakan apabila kerajaan berjaya membawa kembali Guthrie di bawah kawalan rakyat Malaysia.

Melalui usaha yang dirancang rapi selama setahun selepas percubaan pertama gagal, PNB berjaya menguasai Guthrie Coproration PLC pada 8 September 1981 menerusi projek yang kemudiannya dikenali sebagai dawn raid atau serangan menjelang subuh, katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Desa mengulas dakwaan bekas Ketua Eksekutif PNB Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengusahakan proses membawa kembali Guthrie.

Khalid yang menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok pada 28 April ini merupakan Ketua Eksekutif PNB yang kedua.

Mohd. Desa berkata, PNB terlibat secara langsung merangka strategi untuk membawa balik Guthrie pada masa itu.

Menurut Mohd. Desa, selepas setahun beliau dilantik oleh kerajaan sebagai Ketua Eksekutif dan Pengurus Besar pertama PNB pada 1979, beliau maklum mengenai ura-ura membawa balik Guthrie.

Mengulas lebih lanjut mengenai serbuan waktu subuh atau ‘dawn raid’ itu, beliau berkata, sebelum itu secara kebetulan kerajaan telah pun menguasai sebahagian Sime Darby.

Katanya, atas arahan kerajaan, Sime Darby kemudian melantik Rotchild Merchant Bank untuk menjadi penasihat kepada PNB dan Sime Darby dalam usaha mengambil alih Guthrie.

Malangnya, percubaan pertama itu gagal kerana harga saham Guthrie pada masa itu terlalu mahal, katanya.

Mohd. Desa berkata, usaha itu kemudian terhenti seketika kerana mengikut undang-undang pelaburan di Britain, usaha seumpama itu hanya boleh dimulakan semula setahun selepas itu.

Berikutan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kedua, Tun Ismail Mohamed Ali dan Rotchild merangka strategi dengan mengkaji undang-undang berkaitan pelaburan di Britain.

Katanya, setahun selepas itu, setelah merancang dengan teliti, negara akhirnya bersedia untuk meneruskan projek tersebut.

Saya masih ingat lagi apabila Tun Ismail memanggil saya di pejabatnya memaklumkan bahawa seorang pegawai Rotchild, Jock Armitage akan datang ke Kuala Lumpur dari London untuk menemui saya menerangkan tentang projek dawn raid.

Saya sempat bertanyakan kepada Tun Ismail apakah itu dawn raid, tetapi tidak dijawab oleh Tun Ismail selain menyatakan bahawa Armitage akan menjelaskan kepada saya kelak dalam pertemuan itu nanti, katanya.

Mohd. Desa berkata, setelah mendapat maklumat lanjut mengenai projek dawn raid, dan menerima arahan Tun Ismail supaya PNB meneruskan usaha itu, beliau telah mengarahkan Khalid yang pada masa itu pengurus pelaburan PNB untuk memantau usaha membawa balik Guthrie dan bekerjasama dengan pemegang-pemegang saham serta mengatasi masalah yang mungkin boleh menghalang usaha tersebut.

Hasil perancangan yang teliti dan strategi yang betul, PNB akhirnya berjaya menguasai Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September, 1981, katanya.

Katanya, kejayaan itu merupakan kenangan yang sangat manis bagi PNB dan rakyat Malaysia.

SUMBER : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s