Pembentukan syarikat perladangan terbesar dunia

KUALA LUMPUR 23 Nov 2006. – Penggabungan Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie), Sime Darby Bhd. (Sime Darby) dan Golden Hope Bhd. (GHope) bagi membentuk entiti perladangan kelapa sawit terbesar di dunia disambut baik oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha yang diterajui oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu mampu mengukuhkan lagi sektor perladangan negara.

“Itu (penggabungan) adalah inisiatif PNB, saya percaya mereka ingin merasionalisasikan antara kumpulan dan memutuskan untuk menggabungkan syarikat-syarikat tersebut,” kata beliau.

Cadangan yang bakal menjadi penggabungan korporat terbesar negara itu dijangka membentuk sebuah entiti dengan gabungan modal pasaran bernilai RM26 bilion dan keluasan ladang hampir 600,000 hektar.

Jumlah kakitangan yang terlibat juga adalah cukup besar dengan Sime Darby memiliki lebih 28,000 pekerja, GHope sebanyak 26,000 dan Kumpulan Guthrie kira-kira 55,000 orang.

Kumpulan Guthrie mempunyai jumlah ladang terbesar dengan kira-kira 300,000 hektar di Malaysia dan Indonesia, diikuti oleh GHope sebanyak 190,000 hektar dan Sime Darby 90,000 hektar.

Bagaimanapun dari segi permodalan pasaran, Sime Darby yang memiliki perniagaan meluas meliputi bidang automotif hinggalah minyak dan gas, adalah syarikat yang paling besar dengan RM15.21 bilion.

GHope memiliki modal pasaran berjumlah RM7.44 bilion manakala Kumpulan Guthrie RM4.13 bilion.

Hari ini, urus niaga saham bagi Sime Darby, GHope dan Kumpulan Guthrie serta anak-anak syarikat tersenarai masing-masing digantung.

Ketiga-tiga syarikat mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia bahawa mereka telah menerima surat daripada CIMB Investment Bank Bhd. bahawa sebuah syarikat jentera khas, Synergy Drive Sdn. Bhd., akan melaksanakan cadangan penggabungan itu.

Mengulas lanjut, Najib berkata: “Kami sokong tindakan PNB itu, keputusan dibuat oleh lembaga pemegang amanah (PNB) yang saya adalah ahlinya.”

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar pada Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia 2006 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media hari ini bahawa ketiga-tiga syarikat itu akan digabungkan oleh PNB tidak lama lagi.

Pada 2003, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu menyatakan sedang menimbang untuk menggabungkan aset-aset berkaitan kelapa sawitnya.

Berdasarkan laporan, PNB menguasai kira-kira 50 peratus kepentingan Kumpulan Guthrie, 23 peratus GHope dan 5.3 peratus Sime Darby.

Ditanya mengapa penggabungan dilakukan sedangkan ketiga-tiga syarikat itu mencatatkan keuntungan, Najib berkata, ia telah diputuskan oleh kerajaan.

“Ya, saya tahu, tetapi inilah kedudukan yang telah kita (kerajaan) ambil,” kata beliau.

Ditanya sama ada Felda mungkin terlibat dalam penggabungan itu, Najib berkata, ia tidak merangkumi Felda.

“Felda lain. Jangan libatkan Felda dalam perkara ini,” kata beliau.

SUMBER : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s