Hak pemegang bon dilindungi oleh Akta Syarikat 1965 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Di bawah Akta Syarikat, pemiutang termasuklah pemegang bon boleh memfailkan petisyen penggulungan syarikat apabila penghutang gagal membayar hutangnya. Apabila arahan penggulungan dibuat, mahkamah akan melantik pembubar yang akan memantau proses pembubaran tersebut.
Di bawah CMSA pula, semua pemegang bon wajib menandatangani surat ikatan amanah dengan seorang pemegang amanah yang dilantik. Surat ikatan amanah merangkumi peruntukan bon, perjanjian dan lain-lain keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Tugas pemegang amanah adalah untuk menjamin kepentingan pemegang bon seperti mana yang tertakluk dalam surat ikatan amanah dan CMSA.
Dokumen bon (seperti prospektus, penyata terma dan memorandum maklumat) juga mempunyai perjanjian dan klausa-klausa tetapan yang memberikan perlindungan tambahan kepada pelabur. Anda boleh mendapatkan salinan penyata terma dan/atau terma-terma dan syarat-syarat penting penerbitan bon di laman web Suruhanjaya Sekuriti.