Melabur Dalam Komoditi

Bimbang dengan kadar inflasi yang semakin meningkat, pelabur di seluruh dunia kini beralih kepada komoditi sebagai satu bentuk strategi pelaburan. Ini adalah kerana komoditi dikenali sebagai pelindung nilai inflasi yang baik.

Malangnya, pelabur runcit di Malaysia tidak biasa dengan produk pelaburan alternatif iaitu pelaburan komoditi. Persepsi di kalangan majoriti pelabur adalah melabur dalam komoditi  lebih sesuai untuk pelabur institusi dan kumpulan khusus pelabur yang mempunyai nilai bersih tinggi (high networth investor).

Di akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti kategori-kategori dalam komoditi dan kepentingan memilikinya dalam portfolio pelaburan anda.

Apakah yang  terdapat di dalam komoditi?

Secara umum, komoditi adalah aset ketara yang berasal dari tanah. Komoditi biasanya dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu hasil pertanian, tenaga dan logam.

download1

Komoditi sebegini adalah asas ekonomi global dan melihat prestasi lampaunya lebih cenderung untuk bergerak ke arah yang berbeza daripada saham dan bon di pelbagai peringkat kitaran perniagaan. Pelabur mendapati bahawa dengan menambah pelaburan komoditi ke dalam portfolio, ia akan mempelbagaikan risiko portfolio mereka.

Untuk memahami bagaimana pelaburan dalam komoditi boleh membantu untuk mempelbagaikan risiko pelaburan, kita perlu memahami faktor yang mendorong harga komoditi.

Berikut adalah beberapa contoh faktor-faktor yang memacu harga komoditi:

download2.png

Ekonomi global

Secara amnya, semasa dalam keadaan ekonomi yang kukuh, harga dipacu oleh permintaan yang kukuh. Walau bagaimanapun, komoditi berbeza daripada aset lain kerana  harganya dipengaruhi oleh jangkaan masa pendek ekonomi. Bagi harga saham dan bon, ia lebih cenderung ke arah jangkaan masa panjang ekonomi.

Bekalan dan Permintaan

Apabila terdapat bekalan komoditi yang terhad dan permintaan yang banyak dan berterusan, harga komoditi akan lebih tinggi. Ini kerana syarikat sanggup menanggung kos memegang inventori (seperti penyimpanan komoditi dan penyelenggaraan gudang) selagi ada bekalan yang berterusan. Pengeluar komoditi juga akan meningkatkan pengeluaran untuk mengambil peluang menikmati kenaikan harga sehingga bekalan dan permintaan mencapai keseimbangan. Walau bagaimanapun, apabila bekalan melebihi permintaan di pasaran, harga komoditi akan jatuh, seterusnya menyebabkan pengeluaran komoditi dikurangkan sehingga ia mencapai keseimbangan dengan permintaan pasaran.

Tempoh Simpanan

Komoditi boleh simpan seperti emas, logam industri dan minyak, akan menunjukkan hubungan positif dengan kadar inflasi manakala lain-lain komoditi tidak boleh simpan (non-storable commodities), akan mempunyai hubungan negatif dengan kadar inflasi. Ini menunjukkan bahawa komoditi yang mempunyai korelasi yang positif dengan kadar inflasi adalah baik untuk perlindungan terhadap inflasi kerana harga mereka cenderung untuk meningkat mengikut kadar inflasi.

Berdasarkan data sejarah/terdahulu dan daripada sudut ciri-ciri risiko dan pulangan, jika kita bandingkan pulangan (return) dan turun naik pelaburan (volatility) komoditi kepada kelas aset yang lain, komoditi biasanya mempunyai pulangan yang sederhana dengan turun naik yang tinggi. Oleh itu, dengan sendirinya, ia bukan pilihan pelaburan yang terbaik.

Walaubagaimanapun, pelabut tidak seharusnya melihat pelaburan dalam komoditi secara berasingan tetapi sebaliknya sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan. Komoditi adalah pengawal risiko yang berkesan dan penambah pulangan dalam portfolio pelaburan.

Inflasi biasanya akan menyebabkan kadar faedah meningkat. Ini akan menyebabkan kos kira-kira pinjaman menjadi tinggi. Melainkan jika syarikat mampu untuk memindahkan peningkatan kos perniagaan kepada pengguna, inflasi akan menjejaskan lagi keuntungan perniagaan mereka. Ia membawa kepada harga saham yang lebih rendah. Pelabur yang telah memasukkan komoditi dalam portfolio, terutamanya komoditi yang memainkan peranan yang lebih aktif dalam aktiviti ekonomi dan mempunyai korelasi yang positif dengan kadar inflasi, sudah tentu dapat mengimbangi sebahagian impak negatif terhadap prestasi mengecewakan ekuiti melalui pelaburan komoditi.

Bagaimana Untuk Melabur Dalam Komoditi?

Terdapat banyak cara para pelabur boleh melabur dalam komoditi seperti melalui pelaburan secara langsung atau tidak langsung. Pelaburan secara langsung dalam komoditi boleh dilakukan dengan membeli aset sebenar komoditi dalam pasaran lani (spot) atau melalui derivatif seperti kontrak niaga hadapan (dengan komoditi sebagai aset pendasar) dan dana komoditi. Para pelabur juga boleh memilih untuk melabur secara tidak langsung dalam komoditi dengan membeli ekuiti daripada pengeluar komoditi.

Seperti pelaburan lain, sebelum kita mula melabur dalam komoditi, terdapat beberapa perkara asas yang harus diketahui. Pertama, kita mesti jelas mengenai objektif pelaburan dan tahap toleransi risiko. Kita juga harus bersedia dengan pengetahuan latar belakang mengenai kelas-kelas aset. Seperti disebutkan di atas, pelaburan komoditi senang turun naik, oleh itu, pelabur yang ingin menambah kelas aset ini dalam portfolio mereka perlu memahami bahawa ia tidak sesuai bagi pelaburan jangka pendek.Mereka mesti bersedia untuk memegang aset untuk jangka masa yang lebih lama untuk menikmati kesan kepelbagaian pengurusan risiko dengan kelas aset ini.

download3.png

Komoditi Niaga Hadapan

Kadar toleransi risiko seseorang pelabur biasanya akan mempengaruhi pilihan pelaburan mereka. Contohnya, mereka yang mampu mengambil risiko yang lebih tinggi boleh memilih untuk melabur dalam kontrak niaga hadapan dengan komoditi  sebagai instrumen pendasar. Oleh kerana niaga hadapan melibatkan nilai menurut pasaran (mark to market), pelabur harus bersedia untuk membiayai margin sekiranya akaun berkurangan dalam pasaran menurun.

Dengan menggunakan akaun margin, pelabur dapat mengambil manfaat daripada perdagangan secara leveraj dan mereka boleh memulakan pelaburan dengan nilai nominal yang kecil bagi kontrak niaga hadapan. Namun pelabur juga harus memahami baik dan buruknya apabila mengambil leveraj dalam perdagangan niaga hadapan. Ia akan memberi impak yang lebih apabila berlaku perubahan harga dan memberikan kesan negatif dan positif.

Apabila harga niaga hadapan menaik, pelabur akan memperoleh keuntungan yang berganda. Namun, jika harga menurun, kerugian yang dialami juga akan berganda. Oleh kerana itu amat penting bagi pelabur runcit yang masih baru dalam instrumen derivatif untuk melengkapkan diri dengan pemahaman yang menyeluruh sebelum memulakan perdagangan komoditi niaga hadapan. Biasanya komoditi niaga hadapan adalah lebih sesuai untuk pelabur institusi dan pelabur berpengalaman.

Komoditi Niaga Hadapan di Malaysia

Komoditi niaga hadapan adalah perniagaan yang makin berkembang di Malaysia. Komoditi niaga hadapan yang aktif dan disenaraikan di Bursa Malaysia adalah Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kelapa Sawit (MYR Crude Palm Oil Futures FCPO) dan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (Crude Palm Kernel Oil futures FPKO).

FCPO – Aset pendasar untuk FCPO adalah minyak sawit mentah yang berasal daripada kelapa sawit dan boleh digunakan sebagai minyak goreng dan shortening (lelemak). Ia juga digunakan dalam pelbagai produk lain seperti sabun, mentega dan minyak sapi sayur-sayuran. Niaga Hadapan FCPO sangat berjaya dan telah diperkenalkan sejak tahun 1980. Ia telah menjadi pasaran yang aktif dengan kecairan pasaran yang menjadi ukuran global untuk harga minyak sawit mentah dunia serta pasaran untuk pengurusan risiko.

FPKO – Aset asas bagi FPKO adalah minyak sawit mentah, yang diekstrak daripada kernel atau endosperm buah kelapa sawit. Kedua-dua kernel kelapa sawit dan minyak kelapa berada dalam kumpulan minyak yang dikenali sebagai minyak laurik (lauric oils) yang banyak digunakan oleh industri oleo kimia untuk pengeluaran bahan permbersih dan bahan cucian.

Dana Komoditi

Untuk pelabur runcit yang ingin melabur dalam komoditi dengan risiko dan kos yang rendah, mereka boleh memilih untuk melabur dalam unit amanah komoditi yang melabur dalam pelbagai sumber semula jadi melalui pelaburan dalam komoditi niaga hadapan. Pilihan dana yang pelbagai dan meliputi banyak pasaran komoditi berbanding dana yang melabur pada satu atau beberapa komoditi adalah bagi mengurangkan risiko dan meningkatkan peluang keuntungan.

Pelaburan Komoditi Tak Langsung

Jika pelabur masih berasa kurang selesa untuk melabur terus dalam komoditi kerana harganya yang tidak menentu, mereka boleh memilih untuk melabur secara tidak langsung melalui saham syarikat yang terlibat dalam bidang pemprosesan atau pemasaran sumber semula jadi conthonya dalam syarikat pengeluar minyak dan gas asli ataupun tenaga. Untuk mendapat lebih kepelbagaian mereka boleh memilih untuk melabur dalam unit amanah yang melabur dalam syarikat komoditi. Dengan ini pelabur dapat menikmati kepelbagaian secara tidak langsung dan pada yang sama juga memperolehi manfaat sebagai pemegang syarikat seperti pemberian dividen dan untung daripada pergerakan harga saham.

Kesimpulan

Pelaburan komoditi adalah satu pelaburan alternatif yang mempunyai risiko tinggi dan harga turun naik berbanding dengan saham konvensional dan pelaburan bon. Walaupun ia menawarkan manfaat daripada segi kepelbagaian dan pulangan yang lebih tinggi, ia tetap mempunyai risiko tersendiri dan pelabur perlu memahami sepenuhnya mengenai produk tersebut sebelum melibatkan diri.

Oleh kerana ia melibatkan perdagangan kontrak niaga hadapan, pelabur juga harus memahami ciri-ciri uniknya dan dapat menilai risiko perdagangan niaga hadapan.

SUMBER : Invest Smart Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s