Kerajaan akan pantau kadar faedah pinjaman perumahan oleh pemaju – Noh

TANJONG KARANG: Kerajaan akan memastikan kadar faedah pinjaman oleh pemaju perumahan kepada pembeli selari dengan kadar yang dikenakan pihak bank jika cadangan berkenaan dilaksanakan kelak.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, kadar faedah pinjaman 12 peratus yang menjadi pertikaian sesetengah pihak adalah kadar maksimum yang sudah termaktub dalam Akta Pinjaman Wang.

“Ramai yang tidak faham, apa yang saya sebutkan ialah di dalam Akta Pinjaman Wang. Kalau dia ada collateral, maksimum yang boleh dikenakan ialah 12 peratus. Jadi, kalau beli rumah dan pinjam daripada kontraktor rumah, maka maksimum 12 peratus yang dikenakan itu adalah (berdasarkan) akta.

“Namun kalau kita mahu kenakan peraturan ini, kita boleh letak syarat iaitu kenakan kurang daripada 12 peratus, tidak boleh jauh daripada (kadar faedah dikenakan) bank,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Karang, di sini, hari ini.

Tegasnya, mereka yang mempertikai mengenai kadar faedah berkenaan perlu memahami Akta Pinjaman Wang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas.

“Jadi yang bising tentang kadar faedah ini kenapa? Bermakna orang yang bercakap tentang kadar faedah ini tidak faham mengenai Akta Pinjaman Wang,” kata beliau.

Jelasnya, cadangan berkenaan adalah mekanisme alternatif kepada pembeli yang gagal mendapat pinjaman perumahan daripada pihak bank.

“Hari ini banyak rumah tidak boleh dijual sebab sukar untuk dapatkan pinjaman bank, contohnya rumah PPR. Mahu jual dalam RM35,000, tetapi seperti di Gua Musang semalam, dalam 600 permohonan tidak diluluskan bank.

“Untuk PPR ini kita sudah kenakan konsep sewa beli, masuk rumah tidak perlu deposit, tetapi dia bayar bulan-bulan. Jadi kita beri satu lagi alternatif untuk memberi peluang kepada pembeli membeli rumah dan pemaju menjual rumah iaitu situasi menang-menang,” kata beliau lagi.

Noh dalam pada itu membidas dakwaan bahawa konsep cadangan membenarkan pemaju perumahan memberikan pinjaman adalah sama seperti ‘Along’.

“Yang kedua dia kata nak jadi Along? Along yang ada ini pun dia tidak boleh pantau. Orang tidak faham, kalau kita beri (pinjaman) kepada pemaju, pemaju ini ada undang-undang di bawah Akta Perumahan,” tegas beliau.

Beliau menjelaskan Peraturan 7S melalui Akta Perumahan akan memastikan setiap pemaju perumahan mengikut peraturan.

“Ada satu peraturan 7S di mana setiap suku tahun ia perlu laporkan kepada kementerian, dan kita akan memantau.

“Kalau ia ada beri pinjaman, kita akan tengok pinjaman yang diberi mengikut peraturan. Kalau tiada laporan ini, kementerian akan ambil tindakan.

“Ada kaedah kalau kita mahu pantau iaitu melalui Akta Pemaju Perumahan,” jelas Noh.

Selain itu, kementeriannya hanya akan memberikan kelulusan kepada mana-mana pemaju perumahan yang layak daripada segi kewangan dan pelaksanaan.

 “Yang ketiga, takkan kita nak beri kepada semua pemaju. Kita akan lihat kepada kekuatan pemaju. Jika pemaju itu dengan projeknya pun ada masalah kewangan, macam mana iia mahu berikan pinjaman.

“Pemberian pinjaman juga bukan dalam bentuk tunai, ertinya ia beri dalam kaedah deposit,” kata Noh lagi.

Justeru, katanya, cadangan berkenaan cuba dimanipulasi sesetengah pihak terutama pembangkang yang cuba merumitkan keadaan.

Terdahulu, Noh berkata kementeriannya bercadang membuka permohonan kepada pemaju perumahan untuk memohon lesen pinjaman wang melibatkan perumahan sehingga 100 peratus kepada pembeli.

SUMBER : ASTRO Awani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s