BN perjelas kenaikan harga minyak, minta pembangkang usah ‘kelirukan rakyat’

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengecam pemimpin pembangkang atas kritikan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 20 sen mulai Februari.

Dalam satu kenyataan hari ini, parti pemerintah itu menjelaskan walaupun harga minyak mentah merosot sedikit bulan lalu, harga runcit minyak di Malaysia adalah berdasarkan harga minyak yang telah ditapis dan bukan berdasarkan harga minyak mentah.

“Meskipun harga minyak antarabangsa meningkat sejak beberapa bulan susulan pemotongan hasil keluaran oleh negara pengeluar yang memberi manfaat kepada Malaysia, namun harga minyak yang ditapis naik atas faktor-faktor lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan memutuskan harga runcit petrol dan diesel menerusi apungan terurus bermula Disember 2014 susulan pemansuhan subsidi bahan api, dimana harga runcit minyak ditentukan berdasarkan harga purata minyak yang ditapis pada bulan sebelumnya.

Malaysia menentukan harga petrol dan diesel dengan melihat harga Mean Of Platts Singapore (MOPS) Singapura.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai contoh, harga purata MOPS MOGAS 95 tanpa plumbum pada Januari 2017 sekitar AS$69 ke AS$70 setiap tong, dimana harga puratanya adalah lebih tinggi daripada Disember 2016.

“Ia turut dilaporkan bahawa banyak tempat penapisan di Asia Tenggara mendapat manfaat dari segi kenaikan harga dan margin bulan lalu susulan penutupan tempat penapisan lain di serata dunia kerana kebakaran atau penyelengaraan. Berikutan itu, bekalan berkurangan sekali gus menaikkan harga dan margin. Oleh itu, harga MOGAS 95 turut meningkat,” menurut kenyataan itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebelum ini menuntut penjelasan dari kerajaan atas keputusan menaikkan harga minyak runcit  untuk Februari sedangkan harga minyak mentah Brent merosot sedikit pada Januari.

“YB Wan Azizah dan YB Tony Pua dinasihati agar lebih memahami ekonomi dan realiti harga petrol di pasaran dan tidak membuat kenyataan tidak berdasarkan fakta. Lagi teruk ialah apabila membuat kenyataan untuk mengelirukan rakyat,” kata BN.

Harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen bermula hari ini.

Kadar baharu berkuat kuasa 1 Februari 2017 bagi RON95 adalah RM2.30 seliter berbanding RM2.10 sen seliter untuk Januari.

Harga RON97 adalah RM2.60  berbanding RM2.40 seliter untuk Januari, manakala harga diesel ialah RM2.15 seliter berbanding RM2.05 pada Januari.

SUMBER : Astro Awani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s