Pembangunan TRX lancar dengan peningkatan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan ikonik Tun Razak Exchange (TRX), seluas 28 hektar di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, berjalan lancar disokong peningkatan keyakinan pelabur dengan fasa pertama dijangka siap seperti dijadualkan.

TRX City Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, adalah pemaju induk projek berkenaan. Kini ia adalah entiti sendiri. TRX, dengan tempoh pembangunan 15 tahun, akan disiapkan menerusi beberapa peringkat dengan fasa pertama dijangka selesai pada 2018/2019.

“Tahun lalu banyak usaha promosi dibuat dan perbincangan menyeluruh diadakan bersama pelabur berpotensi dan juga adalah tahun yang mana pembangunan dipertingkatkan,” kata satu sumber rapat dengan projek pembangunan itu. Pelabur yang sedia ada dan juga berpotensi, kini lebih yakin dengan pembangunan itu dan 2017 akan menyaksikan lebih banyak pengumuman positif, katanya.

“TRX ketika ini sedang memuktamadkan perbincangan membabitkan dua institusi kewangan antarabangsa utama,” kata sumber itu, yang enggan mendedahkan butiran terperinci perkara itu.

Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) TRX ialah RM40 bilion yang akan merangkumi pelaburan ruang pejabat gred A disokong oleh pembinaan kediaman, kemudahan runcit, hospitaliti, pusat liburan dan budaya yang bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib mengesahkan syarikat itu ada mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi kewangan tempatan dan antarabangsa untuk memindahkan operasi mereka ke TRX. Bagaimanapun, beliau enggan memberi tahu jumlah dan nama institusi terbabit.

“Kami akan membuat pengumuman yang perlu apabila tiba masanya,” katanya. Azmar berkata usaha TRX untuk membangunkan masa depan Kuala Lumpur termasuk menyediakan penawaran utama bagi ruang pejabat gred A. “Sambutan menggalakkan daripada pelabur dan penyewa kami adalah bukti jelas pencapaian itu,” katanya sambil menambah daripada 29 plot pembangunan di TRX, kira-kira 60 peratus dikomersialkan.

Beliau berkata ‘Lifestyle Quarter’ TRX, yang dibangunkan bersama dengan Lendlease dari Australia, akan terdiri daripada ‘The Exchange’ – gedung gaya hidup dengan lebih 500 kedai – sebuah hotel mewah dan menara kediaman yang dibina sekitar taman pusat bandar. Sementara itu, ‘Signature Tower’, menara setinggi 92 tingkat, yang juga pembangunan utama projek itu dibangunkan oleh Mulia Group.

TRX juga menyaksikan peningkatan keyakinan pelabur susulan perpindahan pemilikan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Kementerian Kewangan. – BERNAMA

INFO Tun Razak Exchange (TRX)

  • TRX peruntukkan RM3 bilion untuk mewujudkan prasarana mapan bertaraf dunia bagi bakal daerah kewangan utama itu
  • Ia termasuk sistem terowong yang menghubungkan terus ke jalan utama di kawasan berkenaan dan taman bandar seluas empat hektar
  • Keseluruhan pembangunan dalam lapan pakej di bawah program prasarana TRX City Sdn Bhd
  • Pembangunan TRX berjalan lancar dengan fasa pertama pembangunan dijadualkan siap pada 2018/2019

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s