ECRL tingkat aktiviti pembangunan ECER

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berpotensi meningkatkan aktiviti pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebanyak lapan peratus dari tahun ke tahun terutama dalam sektor infrastruktur.

Penganalisis MIDF Research, Fadhli Dzulkifly berkata, negeri-negeri ECER seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan sedikit ketinggalan berbanding pertumbuhan purata projek infrastruktur negara sebanyak 12.7 peratus dari tahun ke tahun.

“Projek ECRL sepanjang lebih 600 kilometer ini menawarkan faedah pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran yang akan membantu menjadi hab lojistik landasan ke laut secara terus kepada bandar-bandar Pearl Delta, di China.

“ECRL akan merangsang pembangunan melalui kecekapan sistem pengangkutan bara­ngan, serta meningkatkan infrastruktur, perumahan mampu milik dan bangunan komersial seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Pada November tahun lalu, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejurute­raan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.

Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Se­langor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Menurut Fadhli, kesan limpahan ECRL adalah sangat besar dan penting bagi pembangunan infrastruktur di kawasan Pantai Timur Semenanjung, terutama kejuruteraan laut, rumah mampu milik serta penyelenggaraan jalan raya.

“Seiring mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur, aktiviti pembinaan kejuruteraan awam dijangka akan berkembang sebanyak 10.5 peratus setiap tahun selepas projek ECRL itu mula dijalankan.

“Projek perumahan mampu milik di Pahang dijangka terus berkembang, manakala Ke­lan­tan pula akan mencatatkan pertumbuhan projek-projek bangunan bukan kediaman sebanyak 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, keadaan muka bumi yang mencabar di kawasan banjaran Titiwangsa akan menawarkan pelbagai peluang kepada syarikat-syarikat pembinaan tempatan untuk menyediakan kepakaran mereka.

“Syarikat-syarikat tempatan dengan keupayaan teknikal tertentu akan berpeluang memenangi pelbagai pakej subkontrak ECRL yang ditawarkan seperti geoteknik, fabrikasi keluli dan kerja-kerja pembinaan terowong,” katanya.

  • Potensi pertumbuhan 8% sektor infrastruktur
  • Projek ECRL sepanjang 
lebih 600km
  • ECRL menghubungkan:
    • Pelabuhan Klang ke Gombak Selangor
    • Gombak ke Kuantan, Pahang
    • Seterusnya 
hingga ke 
Tumpat, Kelantan
  • Dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022
  • Kontrak pembinaan ECRL dianggarkan bernilai RM55 bilion

SUMBER : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: