Kemenangan Trump beri kesan jangka pendek kepada ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mencetuskan sedikit kejutan jangka pendek dan sederhana terhadap ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan dengan kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata kemenangan calon Republikan berusia 70 tahun itu, dijangka menyebabkan jumlah dan nilai dagangan menyusut kerana perniagaan akan menilai semula beberapa perubahan dasar yang mungkin dilaksanakan pentadbiran presiden baharu itu.

“Tindakan perlindungan dalam bentuk langkah tarif dan bukan tarif secara langsung akan memberi kesan kepada hubungan dagangan antara AS dan Malaysia. “Justeru, sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang juga eksport terbesar kita ke AS berkemungkinan mengalami penguncupan dari segi jumlah dan nilai,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, perkara sebaliknya akan berlaku jika calon Demokrat, Hillary Clinton memenangi pilihan raya berkenaan memandangkan dasar luar akan dikekalkan, begitu juga pendekatan yang dibuat oleh Presiden Barack Obama sebelum ini, akan diteruskan. Kamaruddin menjelaskan, dari segi dagangan, AS adalah rakan dagang penting bagi Malaysia apabila merekodkan pertumbuhan dua angka 11.5 peratus kepada RM59.35 bilion untuk sembilan bulan tahun ini.

“AS merangkumi 10.4 peratus jumlah eksport Malaysia. Pertumbuhan eksport dipacu oleh barangan pembuatan yang kebanyakannya terdiri daripada produk E&E, optik dan peralatan saintifik,” katanya. Beliau berkata, bagi pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia, kemenangan Trump mungkin menyaksikan perubahan dalam dasar serta pendekatan dagangan AS, namun berpandangan ia tidak akan memberikan kesan secara material sekurang-kurangnya dalam jangka sederhana.

“Namun, kemenangan Trump akan memberikan kejutan kepada pasaran kewangan memandangkan pasaran saham AS akan menjunam dan boleh mencetuskan jualan besar-besaran. “Ini juga akan menyebabkan kejutan ke seluruh pasaran kewangan global dan Malaysia tidak akan terkecuali. Kita boleh menjangkakan paras turun naik yang tinggi sebagai tindak balas serta merta,” katanya.

Sementara itu, HSBC Global Research dalam notanya menyatakan, kemenangan Trump akan meningkatkan lagi suasana tidak menentu dalam ekonomi global. Katanya, sepanjang kempen pilihan rayanya, Trump mencadangkan beberapa perubahan dasar yang berkemungkinan memberikan impak dramatik terhadap tinjauan pertumbuhan ekonomi, inflasi dan pasaran kewangan.

“Sama ada cadangannya itu akan dilaksanakan bergantung kepada kesanggupan Kongres untuk meluluskannya,” katanya. Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau keadaan pasaran dan memastikan mudah tunai kekal mencukupi untuk menyokong pasaran yang teratur susulan pilihan raya presiden AS.

“Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM juga berhubung dengan ahlinya dan akan memastikan semua keperluan perniagaan serta transaksi dipenuhi oleh pasaran kewangan seperti yang dikehendaki,” katanya menerusi kenyataan.

SUMBER : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s